Jamuan Hari Raya & Sambutan Hari Guru Di Sekolah

Orang sibuk dengan drama 7 Hari Mencintaimu, tentang Pak Samad meninggal dunia dalam tidur, aku pula sibuk dengan persiapan jamuan Hari Raya dan Sambutan Hari Guru di sekolah anak. 

Memang tak tidur malam sebelumnya aku berjaga untuk siapkan kek nak bawa ke sekolah. Penat tak usah cakap lah, semenjak usia menghampiri 40 tahun ni tenaga memang tak banyak mana. 


Jamuan Hari Raya & Sambutan Hari Guru Di Sekolah

Pada Syawal hari ke 14, sekolah anak-anak umumkan yang sambutan Hari Raya Tahun 2022 sekolah akan disambut bersama Hari Guru. Lebih meriah dan tidak la penat guru nak kendalikan banyak majlis. 

Berbalik kepada cerita jamuan sekolah, seminggu sebelum itu cikgu dah umumkan tarikh jamuan diadakan dalam group Whatsapp ibubapa dan guru. 

Jamuan diadakan di dalam kelas masing-masing. Lebih bagus sebab keadaan lebih terkawal dan kurangkan risiko bersesak di zaman Covid19. 


Jamuan-Hari-Raya-Sambutan-Hari-Guru


Jamuan Hari Raya - Tidak Berlaku Pembaziran Makanan

Setakat ini tidak timbul isu membazir dan anak-anak diberikan peluang untuk bawa balik makanan yang berlebihan. Berbeza dengan luahan ibu bapa di sekolah lain, banyak makanan terbuang. Sayang betul. 

Murah rezeki anak-anak apabila ada ibu bapa yang menawarkan diri untuk bersedekah makanan dan juga duit raya. Memang meriah. 

Tahun ini dua orang anak aku bersekolah. Ikhwan Hafeez dah masuk darjah lima dan di ikuti oleh adik dia, Raudah Sakinah di Sekolah Pra. Masing-masing teruja nak hadir ke sekolah sambut raya dengan kawan-kawan. 


Hadiah Sempena Hari Guru

Untuk hadiah Hari Guru aku dah buat tinjauan dan bacaan dalam Facebook. Jadi sedikit sebanyak dah tahu nak beli apa untuk cikgu. Ramai yang cadangkan untuk beli pen dan white board marker. 

Selain itu aku minta pendapat Ikhwan juga, nak tahu apa idea dia. Jadi mudah sebab kami ambil titik tengah. Gabung idea dia dengan aku. 


Hadiah sempena Hari Guru


Alhamdulillah dia tak banyak karenah. Aku beli barang-barang dua hari sebelum majlis. Sempat la hias apa yang patut. Jumlah cikgu Ikhwan yang mengajar dia tahun ini ialah 10 orang. 

Untuk Cikgu Raudah di Pra Sekolah, ada 2 guru dan seorang pembantu guru. Hadiah ni Raudah yang pilih sambil aku guide la. Suka sebab warna-warni. 


hadiah-untuk-Cikgu


Hasil persetujuan kami beli 3 batang pen merah, hitam, biru dan 1 batang white board marker diberikan kepada setiap guru. Whiteboard marker, pen dan barang hiasan lain kebanyakkan habis stok di Kedai Eco. 

Inilah kuasa netizen. 

Sebagai tambahan, aku beli zip lock paper dan stick note comel. Dekat rumah ada tali jadi aku cuba hiaskan hadiah simple supaya sedap mata memandang dan seronok cikgu terima. 


Hadiah-Sambutan-Hari-Guru


Kek Coklat Kukus Untuk Jamuan Hari Raya

Sekali lagi aku sediakan kek yang sama pernah aku buat masa sambutan Hari Guru tahun sudah. Kek coklat kukus sukatan cawan yang memang pasti jadi. 

Lagi satu aku suka tekstur dia yang lembuh dan rasa dia yang tak terlalu manis. Aku guna bekas plastik bulat bersaiz mini yang ada penutup. Oleh sebab kek ni aku kukus jadi berguna sangat penutup tu. 

Setiap anak aku bekalkan 30 biji kek saiz mini. Malam tu aku bersengkang mata sebab bancuh dua adunan. Masa mengukus pula ambil masa 15 minit untuk pastikan kek betul-betul masak. 

Idea Menarik Jamuan Akhir Tahun Sekolah Anak


Kek-Coklat-Kukus


Apa pun syukur sangat sebab dapat libatkan anak-anak dalam aktiviti mencari dan siapkan hadiah. 

Sengaja nak biar dia pegang tanggungjawab disamping melatih sifat memberi dan menghargai jasa cikgu yang banyak mengajar mereka. 

Pagi sebelum kesekolah, anak-anak teruja bangun tanpa perlu dikejukan untuk bersiap, pakai baju dan kasut raya. Alhamdulillah semua berjalan lancar. 

Balik dari jamuan masing-masing teruja tunjukkan bekal yang dapat dibawa balik. Berbeza sungguh dengan jamuan Hari Raya waktu aku sekolah rendah dahulu. 

Guru kelas pun banyak beri kerjasama dan kongsikan detik-detik indah anak beraya bersama guru dan rakan-rakan. 


Resepi Danmuji, Yellow Pickled Radish

Aku mula minat makan Danmuji selepas keluar makan bersama rakan sepejabat sewaktu aku masih bekerja dahulu. 

Peminat makanan Korea dan Kdrama mesti kenal Danmuji. Kalau makan di restoran Korean mesti akan dihidang dengan Danmuji takpun Kimchi yang sesuai dimakan bersama Jajjangmyeon dan Tteokbokki. 


Kiranya Danmuji dianggap sebagai ‘side dish’ kepada hidangan utama. Oh, Danmuji atau nama lain dia Takuan ialah jeruk lobak putih. 



Resepi Danmuji, Yellow Pickled Radish 

Danmuji (단무지) secara jeneralnya bermaksud acar lobak manis, berasal dari Jepun dan telah menjadi makanan tradisional orang Korea Selatan dan juga dikenali dengan warna kuning cerah. 


Ini adalah ramuan yang penting untuk penghasilan kimbap (김밥; roti gulung dibungkus rumput laut), dan iringan yang sama pentingnya untuk jajangmyeon (짜장면; mi dengan sos kacang hitam). 


Rasanya yang manis, tajam, cerah serta gigitan segar yang disajikan telah menjadikan danmuji sebagai lauk kegemaran di tempat bunsik (snek) di Korea. Sumber: Masisso



Resepi-Danmuji-Takuan


Resepi Danmuji, Yellow Pickled Radish Buat Sendiri Lagi Puas Hati

Jadi kali ini aku nak kongsikan resepi Danmuji yang mudah sangat nak buat. Boleh tahan sehingga 1 bulan jika disimpan di dalam peti sejuk. 


Danmuji kalau letak dalam Kimbap Roll pun sedap. 


Korean Restaurant favourite: 

Dubuyo 

KFry

Nene Chicken 

Chicken Plus

Mr Dakgalbi


Bahan-Bahan 

Lobak putih 1 biji 

Cuka Makan 300ml (Ada yang guna cuka sushi, cuka epal). Guna Cuka epal rasa dia lagi sedap berbanding cuka. 

Air 400ml

Gula 1 cawan

Garam 1 sudu besar

Serbuk kunyit (aku guna pewarna kuning)

Lada hitam 15 biji  

Daun bay 2 helai


Bahan-Bahan-nak-buat-Danmuji


Cara-Cara


1. Kupas lobak putih dan hiris bulat dan jangan terlalu nipis. 

2. Rendam dengan air bersih selama 30 minit. 

3. Panaskan cuka, air,garam, gula, serbuk kunyit, Lada hitam dan daun bay sehingga mendidih. Selepas tu boleh padamkan api.

4. Masukkan lobak putih yang sudah direndam dan biarkan sejuk dalam suhu bilik.

5. Selepas sejuk, pindahkan ke dalam bekas tertutup dan biarkan semalaman di dalam peti sejuk sebelum dimakan.


Siap. Aku suka makan Danmuji dengan mi goreng dan nasi putih. Memang selera tekak Melayu. 



Cara-mudah-nak-buat-Danmuji

Khasiat Lobak Putih Perlu Tahu

1. Bagus untuk menghilangkan keputihan terutama ketika mengandung. 

2. Membantu masalah kencing tak lawas. 

3. Dipercayai dengan minum jus lobak putih secara konsisten dapat membantu menurunkan berat badan. 

4. Lobak putih yang disagat kemudian dicampur dengan minyak zaitun dapat memutihkan kulit muka. Sapu ke muka dan kemudian bilas selepas 30 minit. Lakukan seminggu sekali sekurang-kurangnya. 

5. Banyakkan susu ibu. Nasihat para ibu supaya makan sup lobak putih ketika berpantang meransang pengeluaran susu badan. 


Makan-Danmuji-dengan-mi




Tutorial - Cara Buat Link Bio Website Percuma Guna Canva

Dah lama tak berkongsi tutorial, jadi untuk perkongsian kali ini aku nak tunjukkan cara buat link bio website menggunakan aplikasi CANVA. Paling penting ianya percuma dan mudah.

Link bio website yang telah siap boleh kita letak dekat bio Instagram atau mana-mana media sosial yang kita mahu.

Kesedaran nak buat link bio website menggunakan aplikasi Canva adalah disebabkan url blog aku telah disekat oleh Facebook dan juga Instagram.


Cara Buat Link Bio Website Percuma Guna Canva

Jadi memang tiada peluang nak kongsi url blog di media sosial. Pilihan lain untuk buat link bio adalah seperti linktree, Unfold, linkin.bio, milkshake dan banyak lagi.

Aku dah pernah cuba guna beberapa aplikasi dan setakat ini aku suka dengan pilihan yang ada di dalam CANVA.

Tutorial-Cara-Buat-Link-Bio-Website


Cara Buat Link Bio Website Guna Canva

Langkah pertama adalah login akaun Canva. Aku suka login menggunakan desktop view berbanding mobile view. Tak banyak beza interface dia, bezanya kedudukan tools sahaja berubah.


Langkah kedua: Taip “website” pada ruangan ‘search’ seperti gambar di bawah. Untuk yang belum pernah ada akaun, boleh daftar terlebih dahulu.

Jangan risau aplikasi Canva ni ada yang percuma dan ada yang berbayar. Macam aku guna yang percuma sahaja, cuma ada limit dari segi akses sahaja.

Pilih template yang tersenarai.

Cara-Buat-Link-Bio-Website-percuma

Langkah ketiga: Boleh edit dan ‘rename’ kolum, bolehlah mula design template ikut citarasa sendiri.


Langkah keempat: Masukkan link, contoh link blog. Cara masukkan link seperti dibawah.

1. Klik kolum Blog

2. Klik 3 titik

3. Klik simbol link

4. Isi link yang kita mahu

step-by-step-Cara-Buat-Link-Bio-Website


Langkah ke lima: Selepas selesai design dan isi link yang diperlukan, sila ikut langkah di bawah:

1. Klik butang share

2. Klik website

3. Web style – Pilih standard

4. Copy link dan paste di bio Instagram

Cara-Buat-Link-Bio-website

 

Link yang terhasil agak panjang jadi boleh pendekkan link url menggunakan bitly atau shorten url link yang biasa korang guna.

Itu sahaja tutorial cara buat link bio website percuma guna Canva. Kalau ada sebarang Soalan boleh letak di ruangan komen. Selamat mencuba.

website-canva

Raya Aidilfitri 2022 Penuh Kejutan, Tiba-Tiba Je Raya

Alhamdulillah Selamat Hari Raya korang. Tahu-tahu tiba-tiba je dah raya kan? Lagi seronok tahun ini Raya awal dari biasa. Memang bersilat kami adik beradik dekat dapur malam Raya tu.

Memang rare sebab jarang berlaku raya awal macam tahun ni. Ikut apa emak kata, memang pernah berlaku Raya awal dari jangkaan.

Maksudnya tak cukup 30 hari berpuasa kita dah raya. Berlaku beberapa puluh tahun yang sudah. Memang rezeki tahun ini setelah dua tahun Raya PKP, tak dapat beraya bersama kita akhirnya dapat berkumpul dan beraya sama-sama.


Raya Aidilfitri 2022 Penuh Kejutan, Tiba-Tiba Je Raya

Ingat lagi Raya tahun 2020, raya pertama di perantauan memang sedih sangat. Lagi sedih semua persiapan kena buat sendiri.

Raya-Aidilfitri-2022


Menu Hari Raya Aidilfitri 2022

Memandangkan keluarga kami besar dan tahun ni semua balik beraya di kampung jadi kami tetapkan pembahagian tugas berdasarkan menu yang dicadangkan oleh emak.

Sebelum tu kutipan tabung makan raya telah pun dibuat untuk menampung kos pembelian bahan mentah. Memang begitulah kalau keluarga besar.

Tahun ini emak teringin nak makan Nasi Arab, ketupat palas, rendang ayam daging dan menu pada hari raya kedua ialah mi kari, nasi Imipit kuah kacang dan malam tu kami buat BBQ.

Masing-masing secara sukarela pilih menu yang akan dimasak dan beli bahan-bahan yang diperlukan dan kami masak bersama-sama di kampung.

Ikut pengalaman memang kena beli bahan-bahan kering dari rumah masing-masing sebab tak mahu bersesak mencari barang di kampung.


menu-pagi-raya-aidilfitri

 

Giliran Raya Pertama Di Pahang

Masih menggunakan konsep giliran raya, tahun ini adalah tahun beraya di Pahang iaitu kampung aku. Paling teruja semestinya anak-anak sebab tak sabar nak jumpa sepupu sepapat seramai 22 orang tu.

Tahun ni Raya pertama semua adik beradik seramai 10 orang balik rumah emak. Memang meriah dan penuh rumah.

Semua adik beradik aku dah berkahwin dan ada anak kecuali adik bongsu je. Tengah tunggu jodoh sampai katanya. Jom aminkan adik aku bertemu jodoh yang baik.

Tahun ini raya lebih santai sebab masing-masing dah buat persediaan awal. Tinggal nak masak sahaja. Lepas dengar pengumuman Raya kami sempat main bunga api dan lepas tu baru kami masak rendang dan rebus ketupat.


Reunion-Raya


Hari terakhir puasa, kami tak masak untuk berbuka tetapi hanya beli juadah dari bazar Ramadan sahaja sebab tenaga nak masak memang tiada.

Subuh esoknya kami mula masak nasi Arab. Segala persiapan kami buat sama-sama jadi kerja tu jadi cepat dan mudah.

Raya pertama kami balik kampung sebelah arwah abah. Pakcik dan makcik masih ramai berada di kampung jadi kena la tunjuk muka. Bila tengok muka pakcik teringat arwah abah.

Raya kedua kami hantar wakil ke perjumpaan keluarga sebelah emak di Bahau. Malang tak berbau, aku cirit birit di petang Raya.

Kebetulan aku sibuk siapkan barang-barang untuk mini sukaneka Hari Keluarga Puan Samiah. Jadi aku berehat di rumah sahaja.  


Raya-Aidilfitri-2022-balik-kampung

Sambut Raya Ketiga Di Melaka

Pada hari Raya ketiga masing-masing dah mula bergerak menuju rumah mentua. Hari ketiga selepas terima kunjungan sanak saudara kami memulakan perjalanan ke Melaka.

Jalan raya agak sibuk dengan kenderaan dan syukur sangat anak-anak tidak meragam. Raya diteruskan lagi dengan mentua dan ipar duai.

Seronok dapat makan ketupat, rendang dan masakan emak mentua. Maklumlah dekat rumah sendiri tak sempat merasa semua tu sebab sibuk memasak. Dah penat memang hilang selera nak makan.

Sayangnya dekat Melaka kami tak sempat ambil gambar. So tiada la gambar dengan keluarga sebelah suami. 

Kami ambil keputusan untuk balik ke KL pada Raya ke lima sebagai langkah untuk elak kesesakkan lalu lintas. Syukur walaupun kenderaan banyak tapi perjalanan sangat lancar.

Kami kembali ke dunia nyata setelah seminggu lebih cuti Raya. Segala perancangan cuti turut berubah disebabkan tarikh raya Aidilfitri berubah.

Macam tahun sebelumnya keadaan trafik amatlah teruk, malah ada yang kata tahun ni lebuhraya lebih sesak berbanding tahun sudah.

Almaklumlah semua lepas geram beraya setelah dua tahun tak dapat beraya dengan meriah.


Kesimpulan

Walaupun Raya tahun 2022 penuh dengan kejutan dan drama tapi kami bersyukur sangat sebab semua dapat balik beraya.

Dapat makan makanan sedap, pakai baju baru, dapat jumpa adik beradik dan sanak saudara. Paling penting dapat cium tangan emak dan mohon maaf di pagi raya. Itu paling utama.