Pembinaan Rumah Ronald McDonald Kedua Di Kelantan

Rodiah Amir
0

Pembinaan Rumah Ronald McDonald Kedua Di Kelantan

Sebuah Rumah Ronald McDonald bakal di bina di dalam kawasan Hospital USM hasil kerjasama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald atau Ronald McDonald House Charities (RMHC) bersama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan. 

Rumah Ronald McDonald di Hospital USM ini merupakan yang kedua di Malaysia dan pembinaannya bertepatan dengan misi untuk meringankan beban keluarga pesakit pediatrik dengan memastikan mereka mempunyai tempat tinggal sementara yang dekat dengan anak mereka yang menjalani rawatan perubatan di hospital.

Rumah Ronald McDonald yang pertama telah dibina pada tahun 1999 di dalam kawasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Kuala Lumpur. Dirasmikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Rumah Ronald McDonald di PPUKM merupakan yang pertama di Asia dan telah menjadi rumah persinggahan untuk lebih 850 keluarga pesakit pediatrik sehingga kini.


Rumah Ronald McDonald ke dua di Kelantan


Apabila siap dibina pada awal tahun 2019 kelak, Rumah Ronald McDonald di Hospital USM akan menjadi tempat tinggal sementara untuk keluarga kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di hospital. Rumah ini bakal mempunyai 18 bilik yang boleh menempatkan antara 4 hingga 6 katil setiap bilik. Setiap bilik turut dilengkapi dengan bilik air sendiri.

Selain bilik keluarga, Rumah Ronald McDonald yang baharu ini juga bakal menawarkan kemudahan seperti ruang makan, ruang TV dan istirahat, dapur, bilik mesin basuh dan juga taman permainan. Selain itu, Rumah ini turut menyediakan Bilik Sensori Ronald McDonald yang membantu perkembangan kanak-kanak istimewa dengan bantuan peralatan multi-deria khas.

Hospital USM akan menyediakan satu ekar tanah di dalam kawasan hospital untuk pembinaan Rumah Ronald McDonald manakala RMHC pula akan membina rumah ini yang siap dengan kelengkapan dan perkakasan yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM4 juta. Perbelanjaan mentadbir dan operasi akan ditanggung bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM berkata, “USM menyambut baik kerjasama strategik bersama RMHC, sebuah badan kebajikan berdaftar dengan objektif membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dari aspek pendidikan, kesihatan dan juga sosial.”

tapak pembinaan Rumah Ronald McDonald


Pembinaan Rumah Ronald McDonald akan membantu memenuhi keperluan masyarakat, khususnya mereka dari kategori B40 yang merupakan 80% pesakit yang mendapat rawatan di Hospital USM. Sebagai contoh, dalam tempoh enam bulan pertama (Januari hingga Jun 2018), Hospital USM menerima sejumlah 3,015 pesakit di wad pediatrik, yang datang dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Kerjasama ini secara tidak langsung mampu melonjakkan lagi persepsi positif masyarakat khususnya keluarga pesakit, serta pihak-pihak yang berkepentingan dengan USM. 

Selain daripada itu, ianya turut memperkukuhkan jenama USM amnya dan Hospital USM khasnya sebagai hospital pakar serta menjadi rujukan dalam pelbagai disiplin perubatan dan kesihatan di Pantai Timur selain membuka pelbagai pintu kerjasama yang lebih luas dan strategik bagi kedua-dua belah pihak. Hal ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan untuk menjadikan USM sebagai Universiti Pilihan.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan untuk pembinaan Rumah Ronald McDonald yang baharu ini boleh berbuat demikian menerusi tabung yang terdapat di restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut dan lain-lain cara untuk membuat sumbangan, sila layari https://rmhc-malaysia.my

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.

Catat Ulasan (0)