Tuam Ais Atau Tuam Haba Untuk Surutkan Bengkak?

Rodiah Amir
2
Cedera selepas bersukan adalah perkara biasa berlaku kepada sesiapa sahaja. Anggota badan bengkak dan mula timbul rasa kurang selesa. Macam apa yang Diah alami baru-baru ni. 

Kisahnya, bulan October yang lepas Diah berjaya habiskan larian sejauh 5kilometer. Syabas untuk diri sendiri dan satu pencapaian yang boleh dibanggakan sebelum tahun 2018 melabuhkan tirai. 

Lepas tamat larian dan sampai rumah, badan dan mula beri isyarat nak sakit-sakit. Padahal dah buat warm up pun sebelum berlari.


Tuam Ais Atau Tuam Haba Untuk Surutkan Bengkak?

Agaknya faktor usia dan juga lama sangat dah tak turun padang buat aktiviti berat macam ni. Tak pasti pula ada kecederaan otot atau tak tapi sakit dia memang buat tak selesa la. Muscle crampt omputih kata. 

Memang sejak dulu kalau muscle cramp lepas bersilat atau jogging perkara pertama mesti akan tuam kat anggota badan yang sakit. 

Diah suka tuam dengan pek ais lepas tu baru sapu minyak panas sebelum masuk tidur. Kebiasaan memang menjadi berkurang sedikit sakit ke esok kan harinya, tapi kena pastikan lepas tuam dan sapu minyak kena tidur. 

Pagi esok in sha Allah boleh la bangun dan buat aktiviti macam biasa walau terbatas pergerakkan.
Tuam ais atau tuam haba untuk surutkan bengkak selepas kecederaan sukan



Kebetulan terbaca artikel yang di kongsi oleh Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan dekat Facebook tentang Tuam selepas kecederaan sukan. Macam tahu-tahu je Diah tengah mencari info pasal tuam ni. 

Kawan-kawan sila ikut laman sosial Dr. Kamarul sebab dia suka kongsi informasi berkaitan kesihatan. Ni Dr. betul punya. Bukan Dr. beli ahaks. Selalu Dr. guna twitter dengan hashtag #MedTweetMY  Jadi Diah kongsikan dekat sini penerangan Dr. tentang Tuam seperti di bawah.


“Tuam ais ke tuam haba lebih baik untuk surutkan bengkak selepas kecederaan sukan?”

Kedua-dua tuam ais dan haba memberi kesan yang baik kepada pemulihan kecederaan sukan. Namun perlu tahu bila tuam ais atau haba lebih sesuai digunakan. 

Tuam ais, atau cryotherapy sesuai untuk kecederaan akut seperti terseliuh, terkehel, otot atau tendon terlebih regang, trauma tumpul pada otot dan sebagainya.

Rawatan ini memanfaatkan reaksi pembuluh darah yang akan mengecut jika didedahkan kepada kesejukan. 

Reaksi ini akan menyebabkan penurunan bekalan darah dan secara tidak langsung mengurangkan reaksi keradangan. Hal ini mengekang pembentukan bengkak yang teruk.

Selain itu, tuam ais dapat menurunkan aktiviti saraf. Ini boleh memberi kesan kebas lantas mengurangkan kesakitan kepada kawasan kecederaan. 

Oleh yang demikian, tempoh yang sesuai untuaman ais adalah pada awal tempoh kecederaan, iaitu sebaik sahaja kecederaan berlaku dan 3 hari berikutnya.


Cara-cara melakukan tuaman ais:

1. Letakkan ais atau pek ais ke dalam balutan tuala kecil.
2. Tuam ais pada bahagian yang tercedera selama 10 minit dan angkat tuaman 5 minit.
3. Ulang langkah 2 selama 4 kitaran.
Boleh ulang set ini 2-3 kali sehari

[ ! ] Elakkan daripada meletakkan ais secara langsung pada kulit atau tuam terlalu lama bagi mengelakkan risiko kecederaan pada kulit, tisu dan saraf.


Tuam Haba

Tuam haba, atau thermotherapy pula sesuai kecederaan kronik atau kecederaan yang melibatkan kekejangan dan sengal otot. Contoh: silap bantal dan simpul biawak.

Haba memperbaiki aliran darah ke kawasan yang di tuam dan merelakskan otot dan melegakan kesakitan kekejangan otot. 

Selain itu haba juga menjadikan otot lebih fleksible. Ia memberi efek yang selesa selain mempercepat proses pemulihan.

Tuam haba sesuatu dibuat pada hari ke-4 dan seterusnya selepas kecederaan.

Cara-cara lakukan tuaman haba:

1. Lembabkan tuala dengan air suam atau letakkan pek haba dalam balutan tuala.
2. Tuamkan pada bahagian yang tercedera selama 5 minit, dan berhenti seketika.
3. Ulang langkah beberapa kali sehingga kesakitan lega.

[ ! ] Elak daripada meletakkan sumber haba secara langsung pada kulit atau tuam terlalu lama bagi mengelakkan risiko kecederaan pada kulit. Tuam haba pada awal kecederaan boleh mengakibatkan bengkak yang besar.

Jika ada luka, elakkan lakukan mana-mana tuaman. Berjumpalah dengan doktor jika ada kesangsian berkenaan pilihan tuaman.

Teringat petua orang lama, kalau leher terseliuh sebab tersalah posisi masa tidur atau salah bantal petua nya ialah kena tepuk-tepuk bantal tu sebelum tidur. 

Lagi satu petua ialah lepas je bangun tidur, masukkan ibu jari dan ambil air liur dekat lelangit dan sapu ke leher yang sakit. Sebelum sapu kena selawat dulu. Bila buat kena yakin, sebab Diah tak yakin maka petua tu tak pernah la menjadi.

Kesimpulannya, kalau dah tuam tapi masih lagi tak sihat dan tak boleh bangun kena la berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Jangan memandai-mandai nak makan ubat tanpa berjumpa doktor. Buruk padahnya.

Jom jalani gaya hidup yang sihat dan majulah sukan untuk negara. 

Tags

Catat Ulasan

2Ulasan

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.

Catat Ulasan