Manfaat Beramal Dengan Doa Nabi Musa

Baca doa Nabi Musa ni kalau korang tengah serabut, emosi tak tentu hala, penat mental fikir macam-macam dan tak tahu nak luah dekat siapa. Doa ni pendek je tapi power manfaat dia kalau di amalkan.

Just sharing here sebagai reminder untuk semua yang membaca tapi lebih diutamakan untuk diri sendiri sebab rasa tak seronok dengan apa yang aku sedang rasa sekarang. Setiap bulan mesti akan tersangkut dengan perasaan serabut, penat, menahan sakit badan. Terseksa sungguh bila Sindrom Pramenstruasi (PMS) datang.

Waktu tu mula la semua benda tak kena. Rasa macam payah sangat nak terima keadaan diri. Itu apa aku rasa la. Walau perasaan tak best tu datang jarang-jarang dan bukan selalu tapi tetaplah terkesan sebab aku ni manusia lemah. Dan ada sebab kenapa Islam galakkan umatnya supaya berdoa. 

doa-nabi-musa


 

Manfaat Beramal Dengan Doa Nabi Musa

Perasan juga bila semakin berusia ni, segala zat semakin berkurang, makan pon tak jaga jadi hormon mudah sangat terganggu. Terlebih makan atau terlebih gula pun akan ganggu jadi tak stabil. Dalam kes aku mungkin banyak sangat caffeine aku telan. Sesungguhnya PMS ni memang sangat-sangat mengganggu aktiviti harian aku.

Ada satu doa pendek yang boleh memberikan ketenangan untuk orang yang mengamalkannya. Syarat dia kena yakin lah. Doa Nabi Musa A.S ketika membelah lautan (Dari hadis Rasulullah SAW Abdullah bin Mas’ud)

 

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ وَإِلَيْكَ الْمُشْتَكَى وَأَنْتَ الْمُسْتَعَانُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ  

Allahumma lakalhamdu, wa ilaika musytaka, wa antal musta’aan, wa la hawla wala quwwata illa billahil ‘Aliyyil ‘Azim

 “Ya Allah, untuk-Mu segala pujian. Kepada-Mu tempat aku mengadu. Engkau tempat aku minta tolong.Tiada daya & kekuatan melainkan dengan-Mu”

 

Amalkan sebanyak yang mungkin. Hati kita Allah yang pegang. Kita minta sebaik yang baik-baik saja. Aku doakan untuk yang sedang diuji, tidak aman dalam fikiran, berhajat sesuatu semuanya dimakbulkan Tuhan. Semoga Allah beri kita jalan keluar untuk semua masalah. 

Amalkan juga Doa keluar rumah 


Sambut Raya AidilAdha Di bandar

Salam AidilAdha untuk semua pembaca. Walaupun dah hampir seminggu Aidiladha meninggalkan kita, tetap kena ada satu entri raya haji untuk tahun 2025. Raya dekat mana tu? Kat kampung ke bandar? Meriah tak sambutan raya korang? Raya Haji atau Raya Qurban selalu sambutan kurang meriah berbanding Raya Aidilfitri.

Sambutan dari segi sediakan juadah raya, menziarah atau pun shopping baju raya. Lain lah kalau terlibat buat ibadah Qurban atau dijemput jadi tetamu Allah menunaikan haji di Mekah. Rasanya golongan ini lebih bersemangat beraya.

Apa pun aku seronok sangat raya tahun ni walaupun beraya dia bandar. Tahun 2025 kami tak buat Qurban dan tarikh hari raya berada di hujung cuti sekolah. Jadi tak dapat nak balik kampung. Selain risau menempuh kesesakan Lebuhraya, ada hal-hal yang kami tak dapat elakkan.

Sambut-Raya-Di-bandar


 

Sambut Raya AidilAdha Di bandar

Untuk keluarga sendiri, malam sebelum raya aku dah rebut nasi impit segera, pagi tu panaskan kuah kacang frozen aku dah beli sebelum tu. Kemudian aku masak mi kari udang. Dah makan mi kari, makanan lain dah tak larat nak makan. Nasib baik masak tak beria. Begitulah keluarga kecil kami.

Selesai solat raya baru kami makan ramai-ramai. Pesan awal-awal dekat anak-anak supaya pakai, pakaian baru biar terasa mood raya tu. Sekadar menghidupkan suasana raya tu. Selesai semua baru call emak di kampung. Tahun ni ada lima orang adik beradik bersama keluarga masing-masing teman emak beraya di kampung.

Ikutkan meriah dah tu. Mak masak macam-macam melayan selera anak cucu yang jarang balik. Ketupat palas memang tak tinggal. Itulah menu raya favorite arwah abah. Rindu abah.

Sambut-Raya-AidilAdha-Di-bandar


Maka tahun ni kami redha sambut raya Aildiladhadi bandar je. Tahun ni aku tak buat rendang. Jumpa rendang daging rusa waktu menziarah kakak di Puncak Alam. Itu pun kakak yang sulung masak. Kakak lagi satu masak nasi ayam sebagai main dish. Dijamu dengan biskut raya yang pelbagai. Itu pun dah seronok sangat.

Tahun ni juga kami meriah dapat daging Qurban. Otak dah mula sibuk mencari resepi daging. Begitulah tugas hakiki emak-emak kan.


Ditimpa Musibah Tanpa Henti

Pagi ni berdebar baca mesej suami bagitahu di whatsapp, Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS) terbakar. Terperanjat sangat dan automatik teringat anak di asrama. Jiran sekolah anak je tu. Belakang tu je Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS). Tapi ikutkan Sekolah Menengah Teknik KL lagi dekat dengan ASiS. Masih menunggu update dari group sekolah anak.

Belum reda lagi kesedihan kes kemalangan bas pelajar UPSI, jadi pula kebakaran macam ni memang sayu sangat hati. Ikut maklumat hebahan tak rasmi, bangunan sekolah ASiS yang terbakar bukan asrama. Sekurang-kurangnya kebakaran tidak melibatkan murid. Moga tiada kemalangan jiwa berlaku.

smss-ikhwan


Musibah berlaku pada hari pertama sekolah selepas balik bercuti panjang. Mesti masing-masing dalam keadaan terperanjat lagi. Mak ayah belum habis penat hantar anak balik asrama. Setiap kali hantar Ikhwan balik asrama kami akan lalu depan ASiS. Ikutkan memang bangunan nampak dah lama. Kita tunggu saja siasatan pihak polis.

Salam takziah di ucapkan. Semoga baik-baik saja untuk semua yang terlibat. Fasa selepas musibah tu bila bayangkan terasa penatnya. Banyak kerja nak buat tu.


Rayuan Derma Kilat

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.Seperti kita semua sedia maklum satu kebakaran yang melibatkan bangunan utama pejabat sekolah termasuk bilik guru baru saja berlaku lebih kurang jam 4.30 pagi tadi.

Hasil dari pemerhatian awal mendapati hampir keseluruhan ruang tingkat 1 blok hangus terbakar dan jumlah kerugian masih disiasat. Sehubungan dengan itu, kita melancarkan tabung derma kilat yang akan terus disumbangkan kepada pihak sekolah bagi sedikit sebanyak membantu menampung keperluan segera sekolah terutamanya untuk guru-guru yang kehilangan kesemua barangan peribadi yang diletakkan dibikik guru. Sumbangan boleh disalurkan kepada :

 

derma-kilat-asis

AKAUN 1 PIBG

No akaun : 8000960571

Nama akaun : PIBG SM SAINS ALAM SHAH

Bank : CIMB Bank

Rujukan : derma kilat

Link herepay: https://app.herepay.org/asis-pibg/dermakilatasis

JK PIBG SM Sains Alam Shah

10 Jun 2025

asis-terbakar

 

Ditimpa Musibah Tanpa Henti

Rasanya minggu ni minggu ujian buat aku dan orang sekeliling. Bila terima berita musibah yang bertimpa-timpa ni buat aku rasa betul-betul hidup ni rapuh sangat. Aku juga masih dalam mode terperanjat sebab sekolah anak aku juga dilanda bencana ribut. Cuaca sekarang memang tak menentu. Baru hari tu cuaca panas melampau, sekarang diselangi dengan hujan lebat ribut pula. 

Kami, ibu bapa dapat tahu tentang ribut ni pun bila cikgu kongsi tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu murid-murid patuhi bila kembali ke sekolah dalam group whatsapp.

Kejadian berlaku minggu lepas waktu petang, hujan angin kuat dan pokok pinang tumbang. Habis papan tanda sekolah kena hempap. Memang ranap dan tak dapat diselamatkan. Selain papan tanda, atap bangunan juga ada juga yang terjejas. Syukur tidak melibatkan kemalangan jiwa. Berlaku waktu cuti sekolah jadi bersyukur sangat.



Semoga apa yang berlaku Allah ganti dengan perkara yang lebih baik. inshaAllah.

 

Doa Apabila Ditimpa Musibah

Baginda ﷺ bersabda: “Sesiapa yang mengucapkan doa ini ketika ditimpa musibah, Allah pasti akan menggantikan buatnya sesuatu yang lebih baik.”

Doa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ ini:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali. Ya Allah, berikanlah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpaku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya”.

Hadis Riwayat Muslim, 918


Semoga anak-anak sentiasa di sentiasa dilindungi Allah daripada perkara yang tidak baik. Semoga diberi kesihatan, kemudahan dalam menuntut ilmu serta kekuatan untuk berjaya dunia dan akhirat. Semoga menjadi anak yang soleh dan solehah, cemerlang dalam pelajaran, dan menjadi seorang yang berjaya.

Aamin.

 

Amalkan juga doa perlindungan

أَعُوذُ بكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِن كُلِّ شيطَانٍ وهَامَّةٍ، ومِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

Maksudnya: "Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari setiap gangguan syaitan, binatang berbisa dan setiap pandangan mata yang jahat.”


Doa Hari Arafah – Amalan Yang Disyorkan

Dalam entri sudah aku ada kongsikan amalan yang disyorkan dilakukan pada Hari Arafah iaitu Puasa Sunat Tarwiyah & Puasa Sunat Arafah. Untuk kali ini aku sambung pulan dengan amalan yang disyorkan iaitu berdoa. Memang kita digalakkan berdoa banyak-banyak kerana ianya antara waktu terbaik untuk berdoa kerana kemakbulan dan kemustajabannya.

Boleh baca tentang amalan puasa sunat & cara berniat boleh baca dekat sini. Aku jumpa doa yang aku rasa dekat di hati dan aku kumpulkan jadi satu senarai panjang. Mudah kalau nak print dan boleh baca bila-bila. 

Credit untuk Puan Hikayatmora (thread) dan Puan Husnaaarashid (Tiktok). Boleh follow mereka di platform tersebut. Oh ya aku pernah buat koleksi doa bulan Ramadan juga sebelum ni. 

doa-hari-arafah


Doa Hari Arafah – Amalan Yang Disyorkan  

Sebaik-baik doa, adalah doa pada hari Arafah. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

"Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?"Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali."

Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757)

Tiada doa khusus pada hari Arafah, boleh je doa minta apa yang kita mahu. Tapi untuk yang tiada idea nak doa apa boleh rujuk doa yang aku senaraikan dekat bawah ni. Simple je tapi terkesan di hati. Sebelum ni aku ada kongsi  doa-doa yang masyhur pada Hari Arafah. 

 

Senarai Doa Hari Arafah

1. Doa Tauhid (Doa yang paling utama)

Ini adalah doa terbaik Rasulullah SAW pada hari Arafah:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Laa ilaaha illallah, wahdahu laa syariikalah, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai’in qadir.”

Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

 

2. Doa Untuk Diri Sendiri (Pengampunan dan Taubat)

“Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku, zahir dan batin, besar dan kecil, yang lama dan baru, yang aku tahu atau tidak tahu. Bersihkan aku seperti bayi yang baru lahir."

“Ya Allah, kukuhkan imanku, luruskan hatiku, jauhkan aku dari sifat riak, ujub, takbur, hasad dan segala penyakit hati.”

“Ya Allah, jadikan aku insan yang sabar, tenang dan redha dengan segala ketentuan-Mu.”

"Ya Allah, aku penat. Tapi aku tetap datang pada-Mu. Aku serahkan segalanya. Gantikan luka ini dengan ketenangan. Gantikan tangis ini dengan redha Mu."

“Ya Allah, matikan aku dalam husnul khatimah dan bangkitkan aku dalam kalangan orang beriman.”

"Ya Allah, jangan palingkan hatiku setelah Kau beri petunjuk. Tetapkan aku dalam jalan hijrah ini. Walau aku masih banyak cacat celanya jangan tinggalkan aku."

 

3. Doa Untuk Anak

"Ya Allah, jadikan anakku insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Lembutkan hatinya, hiasi akhlaknya dengan kemuliaan, teguhkan langkahnya di jalan yang Engkau redhai. Jadikan dia penyejuk hati, kebanggaan keluarga, dan asbab keberkatan buat kami.”

“Ya Allah peliharalah kemaluan anak-anak ku, tinggi sifat malu mereka terhadap ajnabi” – khas untuk anak Perempuan.

“Ya Allah, Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

 

4. Doa Untuk Jodoh / Pasangan

“Ya Allah, jika dia baik untuk dunia dan akhiratku, dekatkanlah aku dengannya. Jika tidak, gantikan dengan yang lebih baik.”

“Ya Allah, bahagiakanlah rumahtangga kami. Jadikan pasangan kami penyejuk hati dan peneman ke syurga.”

“Ya Allah, kurniakan zuriat yang soleh dan solehah, yang menjadi penyambung amal setelah aku tiada nanti.”

“Ya Allah, jadikan keluarga kami asbab untuk kami masuk syurga-Mu”

 

5. Doa Untuk Keluarga

“Ya Allah, haramkan wajah ibu dan ayahku dari api neraka. Kurniakan kepada keduanya syurga tanpa hisab”

“Ya Allah, ampunkan dosa ibu bapaku, rahmatilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku sejak kecil.”

“Ya Allah, peliharalah keluargaku dari fitnah dunia, kekalkan kami dalam kasih sayang dan dalam jalan-Mu.”

“Ya Allah, berikan kesihatan, umur yang berkat, dan rezeki yang cukup buat ibu bapaku dan seluruh ahli keluargaku.”

'Ya Allah, lindungilah aku dan orang-orang yang aku cintai dari api neraka. Tempatkan kami dalam syurga-Mu yang kekal, walau kami tidak layak."

 

6. Doa Rezeki, Ketenangan & Kesembuhan

"Ya Allah, berikan aku rezeki yang halal, berikanlah kecukupan dalam rezeki ku. Sedikit nya masih tenang. Banyaknya boleh dibagi bagi. Bukan rezeki yang melimpah tapi membuatku jauh dari-Mu."

“Ya Allah, murahkanlah rezekiku, berkatilah setiap hasil usahaku, dan jauhkan aku dari sumber yang haram dan syubhah.”

“Ya Allah, bukakanlah jalan rezeki yang tidak aku sangka-sangka. Rezeki yang menenangkan, bukan yang melalaikan.”

“Ya Allah, berikan aku pekerjaan yang baik, berkah dan membuatkan aku lebih dekat dengan-Mu.”

"Ya Allah, sembuhkanlah orang-orang yang aku sayangi. Angkatlah segala penyakit dari tubuh dan jiwa. Jadikan sakit ini jalan menuju syurga dan keampunan-Mu."

 

7. Doa Untuk Umat Islam & Akhirat

“Ya Allah, lindungilah saudara-saudaraku di Palestin, Syria, Yaman dan seluruh dunia yang ditindas.”

“Ya Allah, masukkan aku dan orang-orang yang aku sayang ke dalam syurgaMu tanpa hisab.”

“Ya Allah, jangan palingkan hati ini selepas Engkau beri hidayah. Tetapkan aku dalam Islam sampai akhir hayat.”

Dan tutup semuanya dengan doa di bawah:

Ya Allah, Kau Maha Mengetahui isi hatiku. Kasihanilah aku, permudahkanlah & kurniakanlah jalan keluar. Berikanlah petunjuk untuk setiap masalahku. Aku berserah kepadamu, aturkan yang terbaik untuk hidupku, dan kurnikan rasa redha atas apa yang Kau tetapkan kepadaku”.

“Ya Allah, andai ada doa yang masih terbuku dalam hatiku, yang tak terluah atau terlupa, maka kabulkanlah jika ia baik untukku. Dan jika tidak baik untukku, jadikanlah ia yang terbaik untukku, dan tambahkanlah keimananku dengannya.”

 

Allah itu Maha Kaya maka mintaklah sebanyak mana yang kita suka. Allah suka kita berdoa, dan bagi aku pula doa ibarat confession dan affirmation. Kita mengaku kita hamba yang lemah, kita mengaku kita banyak buat salah dan hanya kepada Allah kita meminta.  

Amalan Yang Disyorkan Pada Hari Arafah – Puasa

Sebaknya waktu menulis tentang hari Arafah tahun ni. Rezeki masih diberikan nafas untuk hidup dan boleh berdoa. Banyak betul peringatan tentang kelebihan dan amalan-amalan yang disyorkan di bulan Zulhijjah di kongsi di media sosial.

Alang-alang tu aku nak kongsikan juga ilmu berkaitan bulan Zulhijjah yang aku baca. Semoga perkongsian memberi manfaat kepada semua yang membaca. Macam semua tahu, Hari Arafah ni salah satu hari paling istimewa dalam Islam. Ia jatuh pada 9 Zulhijjah, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.

Untuk Jemaah haji, mereka akan berkumpul di Padang Arafah untuk Wukuf. Wukuf bermaksud berhenti serta diam tanpa melakukan pergerakan dan dilakukan dalam suasana tenang. Dilakukan pada 9 Zulhijjah setelah matahari terbenam dan berakhir ketika terbit fajar pada 10 Zulhijjah. Ketika wukuf, seluruh jemaah haji berkumpul di padang Arafah. Waktu inilah waktu mustajab berdoa. 

 

puasa-hari-arafah

Amalan Yang Disyorkan Pada Hari Arafah – Puasa  

Dan untuk kita yang tak berpeluang nak pergi haji, Allah bagi keistimewaan untuk kita berpuasa pada hari tersebut disamping melakukan ibadah yang lain. Jadi jom kita banyakkan doa, puasa sunat dan rebut peluang nak minta ampun kepada Tuhan.

Untuk perkongsian kali ini aku kongsikan tentang amalan puasa sunat Hari Arafah beserta niat. Mudah untuk kita sama-sama rujuk di masa akan datang.

Disyorkan untuk Puasa sunat Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) sehari sebelum Hari Arafah (9 Zulhijjah). Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas. Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

 

Lafaz Niat Puasa Sunat Tarwiyah & Puasa Sunat Arafah

Hari Tarwiyah ini mempunyai dua maksud menurut Imam Ibn Qudamah iaitu hari di mana para jemaah haji mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah dan yang kedua adalah hari di mana Nabi Ibrahim AS mendapat wahyu daripada Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Mimpi tersebut telah membuatkan Nabi Ibrahim AS tertanya-tanya pada dirinya.


Niat Puasa Sunat Tarwiyah

 نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Nawaitu shauma tarwiyatan sunnatan lillahi Ta’ala

Maksud: Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana Allah Ta’ala.

 

Niat Puasa Sunat Hari Arafah

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى

Nawaitu shauma ‘Arafata sunnatan lillahi Ta’ala

Maksud: “Sahaja aku berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.

 

Kepada semua yang diberikan kesempatan berpuasa, selamat berpuasa dan semoga amalan kita diterima oleh Allah. Jom gunakan peluang hidupkan Hari Arafah, kerana tak semua tahun kita dijanjikan sampai ke Hari Arafah yang seterusnya.

 

Tuna Cucumber Salad Versi Aku – Simple Tapi Padu

Sekarang aku tengah kemaruk makan Tuna Salad. Belum jemu lagi setakat ini. Kalau dulu makan dekat Sushi King mesti aku akan makan chicken salad. Sedap betul kena dengan tekak. Simple je salad tu, ayam goreng dengan daun lettuce lepas tu guna roasted sesame sebagai dressing dia. Ohoi itu pun dah sedap.

Lepas tu aku mula rajin buat sendiri dekat rumah. Asalkan ada bahan dekat rumah walaupun tak lengkap aku mesti akan buat. Roasted sesame dressing tu kiranya bahan wajib kena guna dan favorite brand aku ialah Kewpie. Jenama lain aku dah cuba, tapi sayang tak kick macam Kewpie.

resepi-Tuna-Cucumber-Salad


Tuna Cucumber Salad Versi Aku – Simple Tapi Padu

Bila jadi suri rumah macam ni la dugaan dia. Mesti akan ada hari yang mood hilang, malas nak masak berat-berat. Malas masak tapi perut lapar minta di isi. Lepas scroll Tiktok lalu resepi Tuna Cucumber Salad, terus teringin nak cuba. Nama melayu dia salad tuna dengan timun.

Nak buat sangat lah mudah. Simple dan bahan tak banyak nak guna. Boleh makan macam tu je, atau buat side dish kalau ada lauk lain. Aku pernah kongsi sebelum ni resepi salad timun pedas ala Korea. 

Jom aku share resepi Tuna Cucumber Salad versi aku

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 tin tuna (toskan)
  • 1 batang timun Jepun / timun biasa (dihiris nipis)
  • 1 biji bawang merah (dihiris halus)
  • 1 sudu besar mayonis (ikut suka nak creamy macam mana)
  • 1 sudu kecil perahan lemon / limau nipis
  • Bahan optional: serbuk cili, cili padi, sayur favorite korang.

cara-buat-Tuna-Cucumber-Salad

Tuna-Cucumber-Salad


Cara-cara nak buat (tak sampai 10 minit pun!)

  • Toskan tuna dulu dari air dalam tin. Kalau tidak salad korang akan cepat berair. Kalau suka jenis macam tu okay saja.
  • Hiris timun nipis-nipis. Penting untuk dapat rasa rangup yang best tu. Guna jelah piller.
  • Masukkan tuna, timun, dan bawang merah dalam satu mangkuk besar.
  • Tambah mayonis dan perahan lemon. Gaul semua sampai sebati. Akhir sekali tabur serbuk cili.


Dah siap. Kalau nak rasa lebih sejuk dan segar, boleh simpan salad ni dalam peti sekejap sebelum makan. Korang yang nak jaga kesihatan, aku cadangkan gantikan mayonis dengan Greek yogurt.

 

Kenapa aku suka sangat salad ni?

Sebab dia simple, cepat, dan paling penting aku belum bosan makan menu ni. Selalu jadi penyelamat bila aku tengah lapar. Tak kisah siang ke malam selamat nak makan. Kongsi korang minat salad yang jenis macam mana?

Makan Malam Thai di Dshaban Seafood

Masa balik Melaka hari tu puas hati dapat makan makanan Thai yang betul-betul ada rasa Thai, bukan sekadar pedas dan masam semata-mata. Kena dengan selera kami. Kami singgah makan malam di DSHABAN SEAFOOD yang terletak di Jasin, Melaka.

Jumpa kedai ni macam kebetulan tau, cuma itulah Tuhan kata kalau dah rezeki kan, pusing sana sini pun tetap lah menjadi rezeki kami. Ikut pengalaman lepas susah betul nak jumpa kedai Thai Tomyam yang ada rasa real Thai tu.

Kalau dekat KL kami masih struggle mencari kedai Tomyam yang sedap. Kalau ada please suggest kat komen ya. 

Makan-Thai di-Dshaban-Seafood


Makan Malam Thai di Dshaban Seafood

Jadi memang kedai ni masuk list akan repeat di masa hadapan. Secara jujurnya, kami semua puas hati dengan makanan dan servis dekat sini. Oleh sebab kami puas hati jadi aku bermurah hati beri rating yang tinggi untuk google review DSHABAN SEAFOOD.

kedai-makan-Thai-Dshaban-Seafood


Alang-alang tu meh aku cerita sikit pengalaman makan-makan kami malam tu. Waktu baca buku menu aku dah berperang dengan diri sendiri sama ada nak makan Tomyam atau kerabu. Niat asal nak cari tomyam ya. Nak order dua-dua risau membazir. Akhirnya nekad aku pilih kerabu. Menyesal? Mestilah tidak.

Makan-Malam-Thai di-Dshaban-Seafood


Suasana & Servis Kedai

Kedai dia sederhana, selesa dan tak besar tak kecil. Waktu kami makan dah ada pelanggan tapi tak terlalu bising. Pekerja pun ramah dan cepat ambil order. Makanan pun tak perlu tunggu lama. Jadi untuk pengalaman aku makan malam servis mereka bagus. Pinggan, mangkuk, cawan okay. Kebersihan terjaga.

Korang boleh baca aku jalan-jalan cari makan di Melaka dekat bawah: 

 

Makan apa?

Antara yang kami order malam tu:

Sotong celup tepung – rangup di luar, lembut di dalam. Tepung dia tak tebal sangat, just nice. Sotong fresh, tak liat langsung.

Kerabu megi Seafood – portion dia okey, bahan pun banyak. Cuma bagi tekak aku, rasa dia agak manis sikit. Kalau kurang manis sikit, memang ngam dah.

kerabu-megi-seafood


Sup ekor – panas-panas waktu sampai, aroma dia pun dah menggoda. Yang best, langsung tak hanyir. Rasa dia pun balance. Suami yang order tapi kesian terpaksa berebut makan dengan anak-anak.

sup-ekor


Beberapa menu lain pun kami order, semuanya sedap dan berbaloi dengan harga. Kerang rebus segar tapi takde la sampai teringat-ingat.

Yang penting, menu berasakan seafood memang fresh. Tak rasa macam stok lama atau yang dah beku lama dalam peti. Bila makan tu boleh rasa kesegaran ketam, sotong dan udang yang digunakan. Star of the day jatuh kepada sup ekor.

 

Harga & Keseluruhan

Harga dekat sini sangat berpatutan. Portion pun puas hati. Range harga bawah RM20 untuk seorang makan.

Lokasi Kedai

DSHABAN SEAFOOD
Jc 3003, Jalan BJB 3/2, Bandar jasin bestari, 77200 Jasin, Melaka

Waktu Operasi

4.00 petang – 2.00 pagi
(Buka setiap hari -  boleh semak di Google sebelum pergi)


Kesimpulan

Kalau korang tengah cari tempat makan seafood Thai yang sedap di Jasin, memang kami highly recommend DSHABAN SEAFOOD. Rasa makanan dia ada vibe Thai yang sebenar, servis bagus, dan harga mesra poket. Confirm akan repeat lagi lepas ni!

 

Tengok Ejen Ali: The Movie 2 – Misi Satria

Sabtu lepas kami satu keluarga tengok wayang dan sehingga sekarang masih belum boleh move on lepas tengok Ejen Ali The Movie 2. Entah macamana aku sekali boleh tersangkut suka cerita ni.  

Mesti kena kongsi pengalaman ni dalam blog sebab nanti bila keluar Ejen Ali The Movie nombor 3 aku boleh baca semula sambil senyum-senyum. Aku ada terbaca dekat posting orang katanya, movie nombor 3 akan keluar tahun 2028. Lambat lagi. Selagi belum ada pengumuman rasmi kita baca je jangan percaya.

Oleh sebab dah tengok Ejen Ali The Movie yang pertama semestinya teruja nak tengok sambungan dia – Misi Satria. Weh serius cakap tak puas berapa jam kami dalam tu. Dari awal sampai habis cerita dia on point. Takde babak meleret. Tu aku suka.

Maaf kali ni tak sempat ambil gambar. Simtom usia dah nak masuk senja. Malas ambil gambar. Kami tengok Ejen Ali di GSC Melawati Mall. Tempat sama aku tengok movie Mechamato  waktu tu tahun 2023 woi. 

 

Tengok-Ejen-Ali-The-Movie-2-Misi-Satria


 

Tengok Ejen Ali: The Movie 2 – Misi Satria

Aku tak tengok sangat yang siri episod dekat TV tu kecuali anak-anak memang diaorang die hard fan. Masa aku tengok episod awal-awal dulu, aku jadi sakit hati dengan watak Ali. Lah dengan watak kartun pun aku bleh emo. Lol.

Ali suka buat kesalahan yang bagi aku remeh tapi dia buat. Kategori menjahanamkan majlis la kiranya. Terus aku tak tengok. Tapi bila keluar wayang baru lah aku betul-betul in love dengan cerita dia.

Tapi kalau difikirkan semula, masa filem pertama keluar waktu tu tahun 2019, umur Ali ialah 12 tahun. Darjah enam jadi tak kan nak bayangkan Ali ni matang pula kan? Kena la sikap dengan umur 12 tahun tu.

Aku dah masuk kategori kanak-kanak purba tapi masih boleh layan Ejen Ali tau. Bukan aku sorang je, masih ramai kanak-kanak purba kat luar sana yang sama minat dengan aku. Buktinya, kutipan panggung selepas 11 hari ditayangkan ialah sebanyak RM34.2 juta. Wohoooo.

Ejen-Ali-The-Movie-2-Misi-Satria


 

Antara babak yang meninggalkan kesan dekat aku:

Scene 1:

Babak Ali baru sedar yang dia tumbuk perut Alicia. Ohoi, aku menjerit “noooooo” panjang ya. Walaupun aku dah dapat agak suit Satria kena hack dengan Neonimus dan Cero ambil alih Satria. Jadinya semua droid yang Ali lawan tu semua ejen M.A.T.A.

Akhir sekali baru la si Ali hegeh-hegeh tersedar yang dia lawan macam nak mati tu Alicia. Eh emosi lagi.

Scene 2:

Waktu General Rama yang juga merupakan merupakan Jeneral M.A.T.A.  ajak geng Mamak Maju selamatkan Alicia waktu berlawan dengan Neonimus. Memang legend ya Ejen Rahul, Ejen Razman & Ejen Rajesh. Background musik pula lagu Mamak Maju Servis Laju.

Tengok-Ejen-Ali-The-Movie-2



Scene 3:

Masa babak Ali dengan Alicia lawan Satria yang waktu akhir-akhir tu. Tiba-tiba ada watak Cikgu Munah yang Garang tu dia libas Cero dengan rotan. Weh lawak ya. Cikgu Munah tu pun dah cukup lawak. Memang ramai yang tergelak dalam pawagam.

Scene 4:

Masa Alicia kata “ Terima kasih Ali, dah banyak kali kau selamatkan aku”. Weh masa ni nak keluar air mata aku. Siot betul. Nak nangis malu dengan anak-anak jadi tahan jelah.

 

Secara Kesimpulan, pergilah bawa anak-anak korang tengok cerita Ejen Ali: The Movie 2 – Misi Satria. Banyak nilai murni boleh anak-anak dapat. Kalau suami ajak repeat tengok Ejen Ali aku okay je. Tak sabar nak tunggu movie Mechamato nombor pula. 

Anak Lemah Subjek Matematik

Hari tu Ikhwan call dari public phone asrama.  Suara dia mendatar sedih, mengadu dapat markah paper Matematik dia agak mengecewakan. Alhamdulillah, lulus tapi tak capai markah yang dia target. Waktu dia beritahu tu dapat bayangkan wajah sugul dia. Kalau depan mata dah peluk bagi kata-kata semangat.

Tengah bulan Mei hari tu ada peperiksaan pertengahan tahun. Sebagai emak, semestinya aku yang terasa lebih takut setiap kali ada peperiksaan. Semenjak UPSR dan PMR dimansuhkan ni memang terasa sangat cabaran nak siapkan anak menghadapi ujian.

Ikhwan dah di tingkatan dua tahun ni. Dari tahun lepas dia mengadu yang dia masih mencari rentak nak faham matematik. Waktu tu aku masih positif lagi sebab aku fikir perubahan belajar dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Mestilah mencabar kan?


anak-Lemah-Subjek-Matematik


Anak Lemah Subjek Matematik

Ikutkan dia tiada masalah dengan Matematik masa sekolah rendah. Itu yang aku pelik. Dia hilang fokus atau tak minat ke? Eh pening ya. Dari awal lagi aku pesan suruh banyak bertanya dengan cikgu dan jangan banyak beri alasan.

Jujurnya, rasa nak pecah dada aku waktu tu. Bukan sebab kecewa sangat dengan markah tu, tapi lebih kepada rasa risau, apa yang tak cukup dan apa yang halang dia untuk faham?

Awal tahun hari tu aku dah belikan buku rujukan dan buku latihan. Bersyukur juga, lepas aku belikan dia buku rujukan memang nampak perubahan. Berbuih mulut aku pesan supaya berkawan dengan budak yang boleh tolong ajar dia.

Waktu prep kena guna masa sehabis baik. Tapi dia tetap selesa dengan kawan-kawan dia sekarang. Entah la kan kot dia tak selesa. Belajar jelah dengan kawan sama jantina. Aku tak nak paksa beria tapi macam dah kena guna kuasa veto je. Tak kan aku nak biar je dia terus hanyut macam tu kan?

Lemah-Subjek-Matematik


Rancangan Cuti Sekolah – Kem Matematik

Minggu ni dah masuk cuti sekolah. Dalam kepala ni, dah siapkan rancangan nak buat kem intensif matematik dengan Ikhwan. Semangat aku tengah berkobar-kobar jadi aku harap sangat Ikhwan menyahut baik rancangan aku.

Kalau dulu sibuk lah aku fikir nak berjalan ke mana, nak masak apa tapi semestinya kali ni aku akan gunakan masa yang ada untuk bantu anak-anak. Lepas cuti ni pula giliran Raudah dan Airis pula menduduki ujian.

Bila jadi suri rumah memang aku tetapkan KPI aku adalah pencapaian anak-anak dalam akademik dan juga kemahiran sosial diaorang. Rugi sangat la kalau aku duduk di rumah tapi anak-anak tak dapat tunjukkan potensi masing-masing.

Jadi, untuk cuti kali ni, aku rancang sesuatu yang mudah tapi konsisten. Satu jam sehari untuk ulangkaji Matematik. Harapnya dia tak muak dan lebih suka kan matematik lepas ni. Apa pun kena tengok kemampuan dia dulu.

buku-rujukan-Matematik



Beli Buku Rujukan & Latihan

Antara buku yang aku rasa sangat membantu dia ulangkaji:

Nota Ringkas WOW GRAFIK Tingkatan 1-3, oleh Sasbadi. Juga buku GALUS untuk latihan. Ringkas, padat, lengkap dengan formula dan sesuai untuk ulangkaji masa cuti.

Beli sini👉 [Buku rujukan]

Beli sini👉 [Buku latihan]

 

 

Aku harap sangat dia tak fikir Matematik ni subjek yang menakutkan. Moga dia sedar walaupun markah dia rendah kali ni, masih ada peluang untuk dia buktikan dia boleh cemerlang. Dia cuma belum jumpa cara belajar yang sesuai dengan dia.

DIY Hadiah Hari Guru

Walaupun sambutan Hari Guru dah lepas tapi tetaplah kena terbitkan entri tentang sambutan hari guru untuk tahun ini. Kena la tulis sebagai ingatan untuk masa hadapan. Juga bukti aku sebagai seorang emak yang begitu bersemangat nak siapkan (Do It Yourself) DIY hadiah hari guru.

Walaupun cita-cita aku sebagai seorang guru tak kesampaian (aku tukar cita-cita lepas masuk sekolah menengah) tapi aku tetap seorang guru di mata anak-anak aku. Yelah kan, nama pun emak yang melahirkan dan membesarkan. Siapa lagi nak ajar anak ni kalau bukan kita.

selamat-Hari-Guru

 

DIY Hadiah Hari Guru

Sebenarnya budaya sambut hari guru ni dah lama kot diamalkan. Cuma yang berbeza, sebesar dan semeriah mana sambutan tu diadakan. Kalau dulu zaman aku sekolah, sambutan tidak lah semeriah sekarang.

Ada baik buruk jika diulas dari pelbagai sudut. Aku ambil pendekatan, apa saja perubahan dan penambahan itu berlaku kerana berubahnya teknologi dan juga peredaran zaman. Jadi mana baik kita sokong, mana yang kurang elok baik la kita jauhi.

Asasnya, sambutan hari guru sebab nak tunjuk penghargaan kepada jasa guru yang telah banyak mengajar kita. Dulu aku ingat lagi, aku simpan duit nak beli sabun mandi yang seketul tapi pek dalam kotak. Beli sebab dia ada kotak jadi mudah nak balut. Lepas balut dengan pembalut hadiah jadi nampak hadiah Istimewa dan mahal.

 

buat-Hadiah-Hari-Guru


Buat Sendiri Hadiah Hari Guru

Tahun sebelum ni aku pernah beri alat tulis. Aku beli marker dan beberapa lagi alat tulis. Letak dalam paper beg. Simple je. Tapi tahun ni aku ajak anak bagi hadiah lain sikit, kami hadiahkan pes makanan ala doorgift. Ikhwan pun setuju nak buat kelainan sebab kata dia ramai sangat dah yang bagi alat tulis dekat cikgu.

Aku dapat idea dari video di Tiktok. Dari awal aku ingatkan anak-anak, kami beri hadiah bukan nak yang mahal-mahal cukup kalau cikgu seronok bila dapat dan boleh guna. Anak juga kena ikhlas nak beri dan paling penting belajar menghargai.

Sebagai tanda penghargaan dan juga ingatan kami beri cikgu set pes makanan. Aku susun dan jadikan seakan hamper mini dan diikat dengan riben. Kalau ikut bakat seni yang hampir tidak wujud dalam diri dan tangan aku keras macam kayu, apa yang terhasil tu boleh dibanggakan. Tepuk bahu sendiri.

Gigih beli barang-barang dua tiga hari sebelum tu. Hadiah tu jadi Istimewa sebab anak buat sama-sama. 


buat-sendiri-Hadiah-Hari-Guru


DIY Mini Hamper / Doorgift 

Kain jaring (1-meter untuk 4 hamper) – RM2.95/meter

Ribon satin – RM3.90

Sambal Kicap Yakin – RM2.40 

Adabi Sambal Bilis – RM2.35

Adabi Korea Sos – RM2.30

Adabi Nasi Goreng - RM2.30

Cabble tie 

Mangkuk plastik 


Kos satu hadiah lebih kurang RM10 macam tu tapi usaha yang dicurahkan semestinya tak ternilai. Mangkuk plastik, hiasan dan cable tie memang ada dekat rumah. Jadi guna apa yang ada je. Cikgu-cikgu diaorang seronok dapat hadiah dari anak-anak sebab lain dari yang lain. 


DIY-Hadiah-Hari-Guru


Oh aku mendapat inspirasi nak DIY hadiah hari guru lepas tengok video tiktok: @azreen.aziz Terima kasih berkongsi ilmu. Moga berpanjangan lah hendaknya pahala buat puan. 


Untuk semua guru yang pernah mengajar saya, guru di sekolah dan guru dalam kehidupan; saya nak ucapkan terima kasih. Jasa tu hanya Allah mampu membalasnya. Kelak kalau tak nampak anak muridmu tiada di syurga jangan lupa sebut nama saya ya. 


Cuaca Panas & Kering Luar Biasa

Ya ampun cuaca sekarang memang panas tak boleh bincang ya. Terasa macam panas luar biasa. Dekat rumah waktu memasak dah macam masak dalam sauna. Memang peluh mengalir tanpa henti. Rasa macam mandi pula.

Sabtu lepas ke sekolah Ikhwan, menghadiri mesyuarat PIBG. Dapat duduk dalam dewan bertutup dengan kipas, rasa bersyukur sangat. Tapi memang tak boleh lama duduk dekat luar waktu sekarang. Boleh menguji iman. Ahaks.

cuaca-panas-malaysia-2025


Hikmahnya bila cuaca panas ni, kami jadi kuat minum air. Kalau sebelum ni minum bila teringat je. Walhal pentingnya kena minum air yang cukup.

Sekarang, air masak memang tak tinggal. Aku pula sejenis kalau minum air masak / mineral mesti nak yang sejuk jadi memang angkut tumbler tahan sejuk kemana-mana. Nasib tumbler jenis ada pemegang, jadi tak susah nak pegang. 

Nak tumbler tahan sejuk boleh beli sini - Jenama Sundayeroo

tumbler-tahan-ais


Cuaca Panas & Kering Luar Biasa

Kalau ikut tinjauan cuaca jangka panjang oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), cuaca panas dan kering serta tak menentu ni sehingga Oktober 2025. Weh lama lagi. Memang terasa sangat bila waktu petang memang langit gelap, mendung. Hujan turun tapi tak lebat mana pun.

Jadi sekarang kalau keluar rumah, buat aktiviti luar memang kena cari tempat teduh dan berbumbung. Memang dalam beg dah standby kipas angin dan minyak angin juga. Ini dah dikira benda wajib ada. Dah macam mak-mak, aku punya perangai.

 

Tips Kekal Sihat Waktu Cuaca Panas


1. Minum air banyak, jangan tunggu haus. 

Menjadi cabaran pada aku yang suka minum kopi. Minuman berkafein kan buat kita kerap buang air. Jadi kena lebihkan kopi lebihkan air masak. Angkut la botol air kemana saja pergi.

2. Pakai pakaian sesuai dan ringan

Elak pakai baju warna gelap, cari material yang sejuk macam cotton. Tudung pun cari warna cerah-cerah ya. Standby juga payung atau malas sangat pakai topi.

3. Guna krim pelindung matahari

Kalau tak mahu kulit muka terbakar macam udang bakar, memang setiap kali keluar rumah kena pakai krim pelindung matahari (SPF 30 ke atas). Sayangi kulit muka korang kalau tidak cepatlah naik bintik hitam dan jeragat. 

Kekal-Sihat-Waktu-Cuaca-Panas


4. Kurangkan aktiviti luar waktu tengah hari

Cuba elak keluar antara jam 11 pagi hingga 4 petang, waktu paling terik. Kalau perlu sangat, jangan lupa rehat dan minum air.

5. Pantau kesihatan ahli keluarga

Warga emas dan kanak-kanak paling mudah terjejas. Kalau nampak mereka lesu, pening, atau tak aktif, cepat beri air, rehatkan mereka di tempat teduh.

6. Simpan bekalan kecemasan ringkas

Sediakan Termometer digital, air mineral, garam rehidrasi (ORS) dekat rumah. Semua ni berguna kalau ada tanda-tanda awal strok haba.

 

Apa pun tolong jaga kesihatan. Cakna juga dengan orang sekeliling. Cuaca yang panas jangan pandang remeh. Ada kes strok haba yang membawa kematian. Menakutkan bukan?


Niat Terbantu Nak Update Entri Pendek

Aku tak tahu orang lain tapi aku setiap kali nak menulis mesti aku gagal nak tulis artikel pendek dan tanpa sub tajuk. Ohoi terasa dugaan paling besar bila ada suara kecil yang akan kutuk diri sendiri sebab menulis tanpa heading / tajuk dan tajuk-tajuk kecil.

Bukan setakat tu je, perkara tu juga jadi penghalang aku nak menulis dengan bebas. Kadang-kadang rasa nak menangis sebab itu je kot jadi halangan aku nak update blog. Weh apa tah perasaan ini.

Adakah ini simtom wanita suri rumah yang suka menulis tapi terhalang oleh pemikiran sendiri? Perkara no normal ke tidak? Tolong jangan baca dengan mode terlalu serius ya. Aku sekadar nak melepaskan apa yang terpendam di hati.

entri-blog


Niat Terbantu Nak Update Entri Pendek

Tak cukup menyeksa diri dengan itu, otak aku juga selalu ingatkan yang setiap entri kena ada gambar. Huwaa. Kadang malas tahu malas. Ahaks. Dia macam malas nak melayan setiap apa yang otak arahkan tapi automatic jadi kebiasaan.

Jadi sekarang aku sedang mencuba untuk jadi lebih ‘bebas’ menulis tanpa pedulikan “heading”, “sub-heading”, gambar yang telah ditukar format / di “compress”. Aku rasa ini akibat bila terlalu banyak consume tentang artikel yang mesra enjin carian tapi terlalu banyak aku tak faham.

Jadi untuk korang yang membaca dan rasa tak faham apa aku tengah merepek ni boleh abaikan. Apa pun aku gembira dalam banyak-banyak artikel separuh masak aku taip aku berjaya tekan butang “publish”.

 

Berjaya Tulis Entri Pendek?

Sejujurnya aku masih lagi gigih memandangkan skrin laptop, semak dekat bawah counting words yang berjaya aku hasilkan. Mungkin kalau kiraan words masuk ke angka 300 aku boleh senyum dan terus post.

Agak mustahil untuk aku buang terus tabiat aku nak menulis dengan panjang dan lengkap beserta gambar. Mungkin kali ini aku boleh cuba, bermula dengan sub heading yang sedikit. Tapi aku masih perlukan satu gambar untuk setiap entri.

 

Aku harap untuk entri seterusnya aku dapat bercerita lebih baik, penyampaian aku lebih tepat dan ringkas. Paling penting aku tak rasa penat dan lambat update blog. Jumpa next entri.

Berjaya Buka Kelas Silat Di Sekolah

Setelah lama menanti akhirnya usaha nak buka kelas silat di sekolah rendah tercapai juga. Akhirnya dapat juga aku hantar anak belajar silat, paling penting semua berlaku dekat sekolah anak. Syukur Alhamdulillah, semuanya berlaku dengan izin Allah.

Tak sangka hanya bermula dengan angan-angan dan akhirnya jadi kenyataan. Semestinya aku adalah antara orang paling teruja sebab aku bersama beberapa orang ibu bapa yang terlibat tubuhkan kelas dari awal lagi.

Jadi tujuan aku tulis artikel kali ini adalah untuk berkongsi pengalaman dengan harapan jadi rujukan untuk ibu bapa dekat luar sana yang nak buat dekat sekolah anak-anak korang pula. Oh ya, aku menulis berdasarkan kapasiti sewaktu aku jadi AJK PIBG dan juga syarat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan tahun semasa.

Paling penting walaupun ada orang kata kejayaan ni kecil je tapi aku anggap ini pencapaian besar dalam hidup aku. 

Berjaya-Buka-Kelas-Silat-Di-Sekolah


 
Berjaya Buka Kelas Silat Di Sekolah

Awal dulu masa aku aktif dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) & jadi AJK banyak kali juga berborak sesama ibu bapa yang teringin nak hantar anak masuk kelas silat. Tak lain tak bukan supaya anak-anak ni kenal jati diri, berdisiplin, dan ada keyakinan diri.

Di zaman serba mencabar ni aku nak didik anak bukan cemerlang akademik saja tapi juga kuat mental fizikal. Kalau ikutkan aku sendiri kenal silat dari kecil. Arwah abah guru silat tapi peliknya abah tidak pernah paksa aku belajar pun.

Masa belajar di Universiti baru aku belajar silat dan aktif berlatih silat olahraga. Ohoi setiap kali kenang balik kenangan tu aku jadi berkobar-kobar. Haruslah aku nak anak-anak ikut jejak langkah aku.

Niat aku supaya anak kekal cergas, tak lupa asal usul kita dan moga silat dapat corak keperibadian dia.

kelas-silat


Peranan KSIB & Cabaran Nak Buka Kelas Silat

Sebelum kami bawa cadangan kepada pihak sekolah, awal-awal tu risau juga kalau tak dapat sambutan. Tapi berbekalkan sokongan ibu bapa dan semangat anak-anak sendiri yang teruja nak belajar silat maka gigihkan diri cari guru silat yang bertauliah.

Bermula dengan mencari Persatuan Silat yang berdaftar kemudian mengatur pertemuan untuk perbincangan ke peringkat seterusnya. Mencabar sangat pada awalnya sebab ini kali pertama aku terlibat.

Cabaran nak buka kelas silat bermula bila nak mohon kebenaran untuk buat aktiviti di sekolah dan melibatkan murid. Waktu tu aku baru tahu yang peraturan untuk mohon kebenaran sentiasa ada perubahan.

Jadi nasihat aku, double triple semak dengan Jabatan Pendidikan masing-masing. Tak lain tak bukan peraturan lebih tegas demi memastikan tiada isu berbangkit dan keselamatan murid terjamin. Kita patuh saja pada peraturan untuk mudahkan kerja.

Kelas-Silat-Di-Sekolah

Buka-Kelas-Silat-Di-Sekolah


Proses Dan Dokumentasi yang diperlukan

Semuanya bermula dengan sekolah kena keluarkan Surat Tawaran Mengajar kepada jurulatih / Persatuan. Lepas dapat surat Persatuan silat kena isi borang yang diambil dari Jabatan Pendidikan.

Jurulatih yang nak mengajar pula kena dapatkan permit mengajar. Ada dokumen yang perlu diberi seperti sijil pentauliahan dan wajib buat medical check-up. Permit pula kena perbaharui setiap tahun. Ada syarat-syarat lain juga perlu dipatuhi.

Perkongsian aku ni secara umum saja okay. Nak detail elok rujuk Jabatan Pendidikan masing-masing macam aku terangkan awal tadi. Lepas selesai semua, permit diluluskan dalam masa yang sama sekolah kena juga tunggu surat kebenaran rasmi dari Jabatan Pendidikan untuk mulakan kelas.

 

Hebahan di buat kepada murid dan borang penyertaan sekolah edarkan. Aku bersyukur sepanjang proses tu lancar je. Sambutan untuk kelas pertama Alhamdulillah menggalakkan. Bagi aku kejayaan buka kelas silat ni bukan kejayaan aku sorang tapi hasil kerjasama ibu bapa, guru dan sekolah yang nak lihat anak-anak cemerlang. Aku doakan kelas silat ni terus berkembang.